Kira-kira 400 kaum pribumi dari 20 rumah panjang terdiri dari Kenyah dan Penan menghadiri seminar pembangunan yang diadakan di Long San baru-baru ini.
Seminar yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai program pembangunan yang dusahakan kerajaan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Kedayan Telang Usan dan diketuai Kaunselor Simpson Njock Lenjau.
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Baram, Dato Jacob Dungau Sagan manakala penutupannya dilakukan ADUN Telang Usan, Lihan Jok.
Enam resolusi dicapai diakhir seminar yang kemudian diserahkan kepada Lihan sebelum dikemukakan kepada pihak berwajib.
Resolusi pertama yang dicapai ialah usaha membangunkan Gerakan Daya Wawasan (GDW) di Ulu Telang Usan dalam usaha mempercepatkan proses pembangunan di kawasan itu manakala sektor pendidikan diberi penekanan dalam resolusi kedua mereka.
Dalam resolusi ketiga yang dibentangkan, peserta seminar turut meminta kerajaan mengkaji produk pertanian paling sesuai untuk diketengahkan kepada penduduk di Telang Usan bagi menambah perolehan penduduk di kawasan itu.
Mengekalkan kekayaan warisan budaya masyarakat Kenyah dengan menjadikan bekas pemimpin kaum itu, mendiang Temenggong Oyong Lawai Jau sebagai model menjadi agenda dalam resolusi keempat yang diketengahkan pada seminar itu.
Resolusi kelima dan keenam pula masing-masing membangkitkan peranan kaum pribumi itu untuk sama-sama membantu membangunkan negara melalui asas pengukuhan keluarga dan membangunkan produk pelancongan di Telang Usan.
Lihan dalam ucapan penutupan seminar itu meminta setiap jawatankuasa yang ditubuhkan membentuk jawatankuasa kecil untuk memastikan kelincinan pelaksanaan resolusi itu kelak.
Beliau turut meminta para intelektual dari kalangan kaum Kenyah menjalankan kegiatan melalui Persatuan Kenyah Sarawak bagi memudahkan proses kerja yang dijalankan.
Katanya, untuk mencapai aspirasi yang dicetuskan dalam enam resolusi yang dibangkitkan menjadi kenyataan, semua mesti bersatu untuk menjayakannya.
“Kita tidak mahu ada lagi ’suara penentang’ terhadap kerajaan masa kini,” tegasnya sambil menambah, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja dapat membawa pembangunan di luar bandar seperti mana difokuskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
No comments:
Post a Comment