Surirumah berusia 37 tahun itu juga mahu membantu membangunkan sebuah tadika di kampung halamannya yang memakan masa selama dua setengah jam jika berjalan kaki dari Long Lellang, selain mengajar kerana sedar pendidikan yang sempurna dapat meningkatkan taraf hidup seseorang.
Beliau hanya pulang ke kampung pada hujung minggu dan semasa cuti sekolah kerana mahu bersama anak-anaknya yang belajar di SK Long Lellang dan pra-persekolahan di Long Lellang.
“Kampung saya tidak mempunyai tadika jadi saya terpaksa menghantar anak bongsu saya ke sebuah tadika di Long Lellang. Saya harap akan dapat mendirikan sebuah tadika di kampung saya tahun depan.
“Saya hanya belajar setakat tingkatan tiga tetapi saya yakin dapat mengajar kerana mahu melihat masa kanak-kanak Penan lebih cerah melalui pendidikan yang sempurna,” katanya.
Elizabeth memberitahu, peredaran masa telah banyak membawa perubahan dan cabaran baru dan atas desakan itu, masyarakat Penan harus belajar menyesuaikan diri dengan arus pembangunan perdana.
“Saya tidak tahu menggunakan komputer dan teknologi moden tetapi anak sulong saya yang kini berada di tahun dua banyak memberitahu saya mengenai perkara baru itu. Sebagai ibu bapa, kita perlu menggalakan anak-anak supaya cemerlang dalam pelajaran supaya dapat maju kehadapan,” jelasnya.
Beliau merupakan salah seorang ibu bapa dari kaum Penan yang menghadiri kursus pengajaran peringkat pra-sekolah di Long Lellang minggu lalu.
Setakat ini. Long Lellang hanya boleh dikunjungi melalui udara dari Miri dan Marudi.
Projek pra-sekolah itu merupakan inisiatif masyarakat Long Lellang dengan bantuan Mercy cawangan Sarawak yang turut mendapat sokongan kumpulan syarikat Samling.
Rabu lalu, Mercy tiba di Long Lellang dengan membawa bersama keperluan persekolahan untuk kegunaan kanak-kanak Penan di Long Main selain menghantar guru pra-sekolah yang berpengalaman untuk menjalankan kursus tersebut.
Seramai tujuh kanak-kanak kini menghadiri kelas pra-sekolah di Long Lellang termasuk lima kanak-kanak dari Long Main yang terpaksa meredah hutan dengan berjalan kaki selama kira-kira satu jam untuk sampai ke tempat itu.
Kenyataan Elizabeth turut disokong oleh Molly Melai dari Long Main.
Sambil menghargai pihak Mercy terhadap bantuan mereka untuk menjalankan projek itu bagi kedua-dua kampung terbabit, beliau berkata, “Kita amat terperanjat kerana tidak menjangka kanak-kanak di sini dibekalkan dengan banyak barang keperluan sekolah”.
Molly turut memberitahu bahawa kursus yang dikendalikan itu banyak memberi panduan berguna kepada beliau dan guru berpotensi yang ditempatkan di sekolah tadika di kawasan itu.
“Saya hanya mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan tidak pernah mendapat latihan dalam bidang perguruan. Projek ini banyak memberi pengalaman baru dalam mengajar kanak-kanak sekolah selain meningkatkan keyakinan kami,” ujarnya.
Seorang lagi guru berpotensi, Agnes Mew dari Long Kepang percaya bahawa hanya pendidikan yang baik dapat menjamin masa depan yang cemerlang dan membantu kaum Penan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Saya mahu membantu kanak-kanak di kampung saya supaya mereka tidak ketinggalan dalam mengejar cita-cita mereka. Sebelum ini, saya mengajar kelas injil tetapi mengajar di pra-sekolah akan menjadi pengalaman baru bagi saya,” jelasnya.
Beliau turut berharap projek itu akan turut dibawa ke Long Kepang tahun depan
No comments:
Post a Comment